Sabtu, Februari 20, 2010

[Diari]Udah Jadi Imam Terawikh Lah Pulak= Ustaz Masri

 Cerita 1:

Assalamualaikum WBT.

Malam tadi dah miss terawikh, sampai rumah sudah masuk Isya', badan letih sedikit, maka aku kata kat emak, kita solat terawikh jam 4 pagi esoklah.

Tapi, aku terjaga jam 515 pagi, bangun terus sahur, emak kata beliau dah bangun dah pukul 4 pagi sebab anak buah aku, Insyirah menangis. Mak masuk bilik aku, tengok aku tengah nyenyak tidur, tu dia tak kejutkan.

Jadi lepas sahur, sempatle solat 3 rakaat. Tak sempat habis rakaat ke 3, azan Subuh berkumandang.

Teruskan sahaja solat witir tu.



Hari ini, dekat Tampin, jalan sesak gila. Tensen aku, nak cari parking kereta pun punyalah susah. Dah lah parking-parking dekat Tampin Square tak boleh pakai sebab ada bazar Ramadhan. Akhirnya aku parking kat belakang Pizza Hut. Aku pergi Tampin sebab nak ambik baju Melayu raya aku.

Ingatkan lepas dahbeli baju, nak pergi kedai komputer, nak print out risalah raya, aku lupa bawak baliklah original copy, aku rasa dah terbagi dengan yang aku fotostat kat budak perempuan UIA waktu Ifthar Khamis lepas. Dah lah printer aku tak bawak balik.

Tadi solat Terawikh kat masjid, tak pasal-pasal aku kena jadi imam sebab imam lewat sampai. Mula-mula aku ingatkan Isya' je aku jadi imam, sekali lepas Isya', aku dok toleh-toleh belakang, mana pulak imam ni. Aku nampak Imam 2, heh selamat lah sikit.

Sekali imam 2 pergi depan, dia suruh aku jadi imam untuk terawikh, uhuk uhuk dengan aku tak prepare, terpaksalah jua, bacalah surah al-Waqiah, an-Naba, al-Naziah dan surah al-Buruj.

Kat masjid sini antara dua rakaat, ada selawat-selawat dan doa, tu semua bilal dan imam 2 lah buat, aku mana reti, dah lama aku dok tinggalkan benda-benda tu. Aku jadi imam solat je. Heh tiap kali bangun rakaat, aku akan suruh makmum luruskan saf, sebab tiap kali habis 2 rakaat, aku tengok mesti ada je lompong kosong, hah selagi tak penuh dan rapat saf tu, memang aku tak start solat, tadi puas beapa kali aku suruh penuhkan saf hadapan, baru penuh. Kang nak arah-arah macam budak Kem Solat, tak sedaplak, orang-orang tua lak tu.

Tengah witir, rakaat ke 3, udah black out lah pulak, waktu tu aku tengah baca doa Qunut, peh syahdulah pulak doa dalam gelap. Aku dok cuak, sebab aku dah lama tak baca doa Qunut Subuh, pastu aku tambah dengan doa malam Lailatulqadar, dan doa-doa lain yang bukanlah dari hadis Nabi saw, doa untuk mujahidin-mujahidin di seluruh dunia dan lain-lain.

Habis je witir, aku dah dok pening pa nak buat ni, takkan aku nak jadi tekong tahlil kot macam yang biasa, atau tekong baca niat puasa. Akhirnya aku angkat tangan, baca doa jelah, dah aku mati kutu kat situ, tu je yang aku terfikir nak buat.

Lepak kat masjid sampai jam 11 malam. Balik rumah, mak aku cakap ada jemaah perempuan dok mengeluh panjang sangat aku baca, lenguh kaki, udah tau lenguh solatlah duduk, mak aku cakap ada sahaja jemaah perempuan yang bila solat terawikh solat duduk sebab tak tahan lenguh dan sakit kaki, tapi makcik sorang ni degil sikit, dah berapa kalilah mak aku dan jemaah-jemaah perempuan lain nasihatkan suruh solat duduk.

Tadi akak aku cakap, esok kau jadilah imam lagi. Huh abis tu imam rawatib masjid yang kerajaan lanti tu nak campak mana. Heh yang lagi aku geram, imam 2 siap umumkan lepas habis witir semua "Tadi solat terawikh di imamkan oleh Ustaz Masri dari UIA Gombak". Udah isy imam 2 ni, pedajal aku betul.



Cerita 2:
Assalamualaikum WBT.

Malam ini sekali lagi aku kena jadi imam terawikh, malam ini imam 1 langsung tak nampak muka. Ayah aku kata, mungkin dia penat sebab dari pagi sampai petang duduk di masjid kutip zakat fitrah. Lagipun rumah dia jauh sangat dari masjid, masjid di sini entah pelik sungguh, orang yang jauh, bukan ahli kariah dilantik jadi imam, sedangkan dalam kampung aku ni, ada seorang ustaz yang bagus bacaan dan hafalannya, tak diberi peluang jadi imam pun. Siap dihalang-halang lagi adalah.

Sebelum pergi ke masjid, mak aku sampaikan pesan makcik-makcik dan nenek-nenek yang meminta aku membaca doa dan zikir dengan kuat. Aku senyap sahaja. Azam ku malam ini selepas witir akan aku terangkan apa kata Imam asy-Syafie RHM dan Imam Ibnul Qayyim RHM tentang isu ini. Moga ia menjadi pencerahan kepada semua jemaah dan memang ini saat-saat yang aku tunggu. Mak aku kata, memang semalam ada orang komen, mak aku terus jawab kat orang tu macam nilah solat di UIA, imam-imam di UIA baca Quran waktu solat dengan bacaan yang lantang, cuma waktu doa dan zikir secara perlahan.

Aku imam untuk Isya', aku mencari-cari jua imam 1 dan 2. Tiada. Bilal panggil aku suruh jadi imam. Usai solat Isya, aku menoleh ke belakang, nampaknya imam 2 ada.

Maka sebelum solat terawikh imam 2 dah bangun ke hadapan, nampaknya dia akan jadi imam, selamatlah aku malam ni. Tiba-tiba imam 2 panggil aku, dia suruh aku imam kan juga terawikh, aku pun buat jelah, lagipun aku dah prepare sikit siang tadi, periksa hafazan aku, sebab macam dah expect mereka akan suruh aku jadi imam.

Sebelum aku melangkah ke sejadah imam, imam 2 berbisik kepada aku, dia suruh aku solat cepat sikit atau pendekkan bacaan, ada jemaah komplen sebab semalam panjang dan lama sangat. Aku diam sahaja, cuma dari situ aku tambah lagi satu point untuk aku tazkirah selepas solat witir.

Aku solat macam semalam jua, baca surah al-Jum'ah, al-Waqiah, an-Naba' dan al-Buruj. Witir baca surah al-A'la, al-Kafirun dan tiga Kul.

Macam biasa doa dan selawat antara rakaat imam 2 dan bilal yang uruskan.

Habis witir, aku baca zikir yang Rasulullah saw ajar selepas witir

سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوْسِ (3×
[رَبِّ الْمَلاَئِكَةِ وَالرُّوْحِ]

HR. An-Nasai 3/244, Ad-Daruquthni dan bebera-pa imam hadis yang lain. Sedang kalimat antara dua tanda kurung adalah tambahan menurut riwayatnya 2/31. Sanadnya shahih, lihat Zadul Ma’ad yang ditahqiq oleh Syu’aib Al-Arnauth dan Abdul Qadir Al-Arnauth 1/337.

"Subhana alMaliki al-Quddus 3kali, Rabbul Malaikati wa ar-Ruhi. .



Lepas itu aku bagi tazkirah pendek, aku ulas kenapa aku membaca doa dan zikir dengan perlahan. Mula-mula aku terang apa al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sebut bagaimana dia hairan dengan orang yang berdoa di luar solat dan melupakan untuk berdoa di dalam solat. Aku sebut bahawa sunnah kita berdoa selepas Tahiyyat akhir sebelum salam dan membanyakkan doa di dalam sujud.

Lepas tu aku ulas pula pandangan al-Imam asy-Syafe RHM dalam al-Umm tentang zikir selepas solat, bagaimana al-Imam asy-Syafie menyukai zikir secara perlahan dan zikir kuat hanya untuk mengajar sahaja.

Selepas itu aku sentuh tentang bagaimana solat malam Rasulullah saw yang begitu panjang hingga pernah sahabat yang menjadi makmum merasa tidak larat. Bagaimana Aisyah RA menegur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang solat malam terlalu lama sehingga bengkak-bengkak kaki sedangkan baginda Sallallahu Alaihi Wassalam telah diampunkan segala dosa hinggalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menjawab adakah salah untuk baginda Sallallahu Alaihi Wassalam menjadi hamba yang bersyukur.

Lepas itu aku ulas pula fenomena pelik mengabaikan ibadah di 10 malam terakhir kerana sibuk dengan persiapan raya. Dan penutupnya aku menyentuh khusus isu muslimat yang sibuk di pagi hari raya nak kemas rumah, nak sediakankuih raya dan lain-lain hingga tak pergi solat raya. Aku bacakan hadith Sahih al-Bukhari bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengarahkan setiap wanita termasuk yang haidh untuk menghadiri solat raya.

Lepak di masji kejap sampai jam 1130 malam. Ada seorang musafir singgah jua di masjid, beliau nak balik Rembau tapi sebab malam tak ada bas, beliau tidur di masjid.

Balik rumah borak-borak dengan abah, emak, kakcik. Abah pun membuka cerita bagaimana ada orang tak suka aku jadi imam. Bagaimana siang tadi ada orang cakap kepada seseorang yang tak hadir solat terawih malam semalam, dia kata nasib baik kau tak datang semalam, sebab panjang sangat aku baca.

Orang tu cakap macam tu depan abah aku dan bilal. Mungkin dia tak tahu kat depan tu abah aku, abah aku cakap bilal jawab, yelah malam 10 Ramadhan terakhir ni lah kita nak banyak ibadah, bukan lama sangatpun sejam sahaja, kalau solat terawikh pendek pun, nanti balik rumah, melepak depan TV berjam-jam boleh pula.

Lepas tu abah cerita bagaimana ada orang cuba menghalang aku daripada jadi imam, patutlah sebelum mula terawikh tadi ada orang dok berbisik-bisik kat imam 2, imam 2 dok angguk-angguk sahaja, tapi akhirnya dia suruh aku juga jadi imam.

Abah aku bukak cerita lagi, bukan tu sahaja sebab imam 2 suruh aku jadi imam, imam 2 sebenarnya dah bosan dengan perangai orang kampung ni, waktu imam 1 selalu dok tolak imam 2 jadi imam, mereka dok mengata macam-macam kenapa bukan imam 1 jadi imam, jadi imam 2 tolak aku lah jadi imam biar tutup sikit mulut-mulut tu, nak tengok apa pula diorang cakap. Heh sekali orang yang sama tak suka imam 2 jadi imam jugalah orang yang dok bising-bising aku jadi imam terawikh. Abah aku cakap entah siapa yang mereka nak pun kita tak tahu, tahu nak bantah sahaja, tolak ke depan jadi imam takut, masing-masing menyorok belakang tiang bila imam 1 tak datang.

Lagipun imam 2 juga bertujuan nak buat sikit perubahan kat masjid, jadi antara perubahan tu nak suruh aku jadi imam terawikhlah, biar ada feel lain sikit, ini tak terawikh 8 rakaat, baca ayat-ayat lazim, pukul 920 dah habis. Sebelum mula terawikh tadi imam 2 umumkan siapa-siapa yang tak larat nak berdiri lama boleh solat duduk, bagus juga pengumuman tu untuk jemaah-jemaah yang benar-benar tak larat. Yang kelakar tadi abah aku cerita ada sepupu aku, muda-muda lagi nak solat terawikh duduk. Abah aku tegur, diorang kata eh tadi imam 2 kata boleh solat duduk. Hah abah aku jawab takde-takde, korang kena solat berdiri gak. Pakcik aku yang kat sebelah dok gelak sahaja.

Kakcik aku cerita lak, ada budak perempuan umur-umur macam aku bising pasal aku baca doa dan zikir perlahan sahaja. Kakcik aku cakap, kalau yang dok mengomel tu makcik-makcik dan nenek-nenek takpelah, ini budak-budak universiti.

Entah, mesti pembaca pelikkan dengan senario masjid kat sini. Memang pelik, aku pun selalu tak faham, dari kecik sampai sekarang aku selalu pelik, tapi tu lah. Nak buat macam mana, inilah masjid tempat aku beribadah sejak kecik lagi. Sejak sebelum sunat yang aku dah duduk di saf hadapan sampai kena halau, lepas tu abah aku mcam nak bergaduh dengan makmum yang halau aku tu, abah aku cakap anak aku ni tiap-tiap hari datang masjid, datang awal kat masjid, kau tu datang sekali-sekala, bila aku ingat kisah-kisah waktu kecil dulu, asyik nak ketawa sahaja. Tapi kepelikan masjid aku ni sampai sekarang tak ubah-ubah. Pegawai syara' naik tension, aku pun tension, abah aku pun dah bosan. Bila kita nak wat perubahan bagi masjid ni imarah sikit, ada je mulut-mulut membantah.

Entahlah apa nak jadi wahai Masjid Aleyah Kampung Kuala Ina.


Sumber http://lobaitampin.blogspot.com/

0 ulasan:

Catat Ulasan