Sumber: AFn
“Khusyu’ yang lahir dari keimanan yang benar ialah apabila hati merasa insaf dan merendah diri di hadapan kebesaran dan kemuliaan Allah, dan dipenuhi oleh rasa takut, hina dan malu, sehingga hati itu benar-benar merendah dan terputus di hadapan Allah seperti yang demikian, dengan rasa takut, malu, cinta, mensyukuri nikmat Allah atasnya dan menyedari segala dosa-dosanya. Maka tidak diragukan lagi bahawa khusyu’ yang timbul dalam hati itu akan diikuti dengan khusyu’ pada badan. Sedangkan khusyu’ yang lahir dari sifat munafik ialah sesuatu yang dibuat-buat dengan menunjuk-nunjuk pada fizikalnya, tetapi di dalam hatinya langsung tidak ada rasa khusyu’.”
Salah seorang sahabat pernah berdoa: “Aku berlindung kepada Allah daripada khusyu’ orang munafik.” Ditanyakan kepadanya: “Apakah khusyu’ orang munafik itu?” Beliau berkata: “Apabila badan menunjukkan rasa khusyu’ tetapi di dalam hati langsung tiada rasa khusyu’.”
Orang yang benar-benar merasa khusyu’ tatkala di hadapan Allah adalah orang yang tidak dibuai oleh keinginan hawa nafsu; hatinya bersih dan dipenuhi dengan cahaya kebesaran Allah. Keinginan hawa nafsunya yang tamak telah mati disebabkan rasa takut dan cemas yang memenuhi hatinya dan melimpah ruah sehingga fizikal badannya menjadi tenang tenteram, hatinya menjadi mulia dan merasa selamat dalam mengingatiNya, turun rasa ketenangan dari Tuhannya pada dirinya. Maka dia menjadi orang yang merendahkan diri (mukhbit) di hadapan Allah, dan barangsiapa yang merendahkan diri maka dia termasuk orang yang terjamin. Tanah yang “mukhbit” itu adalah tanah yang rendah, yang menjadi tempat bertumpunya air, maka demikian pula hati yang “mukhbit” itu tenang dan merendah diri, seperti tanah rendah yang menjadi tempat berkumpulnya air mengalir.
Tanda-tandanya ialah seseorang itu sujud kepada Rabbnya kerana rasa hormat dan hina diri, dan tidak sekali-kali mengangkat kepalanya sehingga dia bertemu denganNya. Sedangkan, hati yang sombong itu ialah dari seseorang yang merasa cukup dengan kesombongannya dan mengangkat dirinya seperti tanah tinggi yang tidak dapat diairi. Maka inilah khusyu’ dari keimanan yang benar.”
Manakala khusyu’ orang munafik dan yang berlebih-lebihan di dalamnya, ini adalah sikap seseorang yang cuba menunjuk-nunjukkan kekhusyu’kan, namun jauh di sudut hatinya masih dipenuhi dengan kelalaian dan khayalan. Maka, pada zahirnya dia khusyu’, tetapi ular dan singa tinggal di dalam hatinya, bersedia untuk menerkam mangsanya.[ Ar-Ruh, m/s. 314, Dar al-Fikr, Jordan.]
“Khusyu’ dalam solat terjadi bila seseorang mengosongkan hatinya hanya untuknya (solat) saja, dan memfokuskan seluruh hati ke atasnya sehingga menghalang segala sesuatu yang selainnya, dan lebih mengutamakannya daripada segala sesuatu selainnya. Hanya dengan demikian dia menemui ketenangan dan merasai nikmat di dalamnya, sebagaimana sabda Nabi SAW:
“…kesenangan hatiku dijadikan dalam solat.” [Tafsir Ibnu Kathir, 5/456. Hadith ini terdapat dalam Musnad Imam Ahmad, 3/128 dan Sahih al-Jami’, 3124. ]
Allah telah menyebutkan al-khashi’ina wa’l-khashi’at (lelaki dan perempuan yang khusyu’) dan menyatakan bahawa sifat ini termasuk di antara sifat-sifat orang-orang yang terpilih. Dia SWT memberitahu kita bahawa Dia telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar (iaitu syurga). (Lihat surah al-Ahzab 33:35).
Satu dari faedah-faedah khusyu’ iaitu ia menjadikan solat itu mudah bagi orang yang mengerjakannya.
Allah menyatakan:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ (iaitu khusyu’ orang mukmin yang benar, yang mentaati Allah sepenuhnya, takut kepada azabNya, beriman kepada janjiNya dan peringatan-peringatanNya).” (al-Baqarah 2:45)
Maksudnya ialah beban solat itu sesungguhnya berat, kecuali bagi orang-orang yang benar-benar khusyu’.[ Tafsir Ibnu Kathir, 1/125.]
Khusyu’ sangat penting, tetapi ia menjadi suatu perkara yang mudah hilang dan sangat jarang dilihat, terutamanya di zaman kita sekarang ini, yang merupakan akhir zaman. Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya yang pertama akan diangkat (dihilangkan) dari umat ini ialah khusyu’, sehingga kalian lihat tiada seorang pun mempunyai rasa khusyu’.” [ Al-Haitami berkata dalam kitab Al-Majma’, 2/136: Diriwayatkan oleh ath-Thabarani dalam Al-Kabir, dan isnadnya hasan. Lihat juga Sahih al-Targhib, no. 543. Katanya: Sahih. ]
33 Ways to Concentrate in Your Prayer (Muhammad Salih al-Munajjid)

0 ulasan:
Catat Ulasan